Info Wakaf

Wakaf adalah salah satu kaedah taqarrub ilallah (mendekatkan diri dengan Allah) menerusi harta kekayaan. Wakaf juga merupakan salah satu ibadah yang awal di dalam Islam yang diizinkan oleh syarak. Dengan itu amalan wakaf telah menjadi satu tradisi kepada para pemerintah dan hartawan-hartawan muslimin di abad-abad dan pertengahan Islam yang dilakukan secara meluas khususnya di negara-negara Arab dan Asia Tengah.

Dari segi syarak, wakaf ialah apa-apa harta yang ditahan hak pewakaf ke atas harta tersebut daripada sebarang urusan jual beli, pewarisan, hibah dan wasiat di samping mengekalkan sumber fizikalnya, untuk kebajikan dengan niat untuk mendekatkan diri pewakaf kepada Allah SWT.

Ibadah wakaf bersumberkan ayat al-Quran dan hadith Nabi SAW antaranya seperti berikut:

Bermaksud:

مَّثَلُ ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمۡوَٰلَهُمۡ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنۢبَتَتۡ سَبۡعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنۢبُلَةٖ مِّاْئَةُ حَبَّةٖۗ وَٱللَّهُ يُضَٰعِفُ لِمَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ ٢٦١

“Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada tiap-tiap butir: seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (karunia-Nya) lagi Maha Mengetahui.” (al-Baqarah: 261)

Dari Abu Hurairah RA., sabda Rasulullah SAW:

إِذَا مَاتَ ابْنُ آدَمَ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلا مِنْ ثَلاثٍ : مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

“Apabila mati anak Adam, akan terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang soleh yang mendoakannya” (Riwayat Muslim)

Pewakaf boleh melakukan ibadah secara wakaf tunai, iaitu berwakaf menggunakan wang tunai yang dikumpul di dalam satu tabung amanah di bawah pengurusan nazir yang diamanahkan untuk mengurus wakaf ini bagi tujuan membiayai aktiviti-aktiviti dan kebajikan amal jariah. Dana wakaf yang dikumpul kemudiannya ditukar kepada harta kekal yang akan dimanfaatkan untuk kebajikan dan kepentingan masyarakat mengikut kesesuaian dan peraturan yang digunapakai.

Wakaf mempunyai dua jenis, iaitu wakaf am dan wakaf khas. Wakaf am boleh digunakan untuk apa-apa kepentingan Islam sementara wakaf khas akan digunakan untuk tujuan yang dinyatakan seperti bagi tujuan pembiayaan pendidikan, kesihatan atau aktiviti kebajikan.

Daftar Sebagai PEWAKAF UiTM