UiTM perkenal sistem e-Wakaf untuk kumpul dana, lestarikan sistem pendidikan

SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan memperkenalkan sistem e-Wakaf sebagai usaha mengumpul dana bagi melestarikan sistem pendidikan dan pembangunan fizikal universiti itu.

Naib Canselornya, Prof Emeritus Datuk Hassan Said berkata sistem web ini dibangunkan oleh pihak UiTM sendiri dengan usahasama Perbadanan Wakaf Selangor dan bakal melancarkan e-Wakaf ini pada 13 Januari.

"Sehubungan itu kami amat mengalu-alukan sumbangan dana berbentuk wang tunai atau barangan daripada pelbagai pihak yang bakal membawa manfaat besar kepada universiti serta komuniti.

"Menerusi wakaf ini kita membuka peluang kepada alumni (UiTM), warga universiti, pihak korporat dan masyarakat untuk menyumbang bagi membantu melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran di UiTM," katanya dalam sidang media di sini pada Isnin.

Jelas Hassan, sumbangan yang diterima bukan sahaja digunakan untuk membina bangunan dan infrastuktur, malah akan turut diperluaskan bagi membantu pelajar kurang berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran.

Beliau berkata menerusi e-Wakaf, UiTM akan memperkenalkan Wakaf Am dan Wakaf Khas bagi memudahkan pihak berkaitan memberi sumbangan.

"Wakaf Am tidak bergantung pada satu-satu barang atau aset dan pihak universiti boleh menggunakan wang yang disumbang itu untuk membina dewan kuliah atau sebagainya, manakala Wakaf Khas adalah wakaf yang lebih spesifik, contohnya jika penyumbang mahu dana digunakan untuk membina kampus, kita akan guna dana itu untuk bina kampus dan bukan sebaliknya," katanya.

Menurut Hassan, pelaksanaan e-wakaf itu membolehkan universiti tidak bergantung sepenuhnya kepada pembiayaaan oleh kerajaan.

Beliau turut menyasarkan bahawa UiTM mampu mengumpul dana berjumlah RM1 bilion menerusi pelaksanaan e-wakaf itu dalam tempoh 10 tahun akan datang.

"Inilah antara usaha kita untuk memperkasakan lagi universiti ini sekaligus diharap dapat berdaya saing dengan universiti lain," katanya.

-- BERNAMA

Sumber : http://www.astroawani.com/berita-malaysia/uitm-perkenal-sistem-e-wakaf-untuk-kumpul-dana-lestarikan-sistem-pendidikan-128425

Comments are closed.